06 May 2019
KUALA LUMPUR - Axiata Group Berhad (“Axiata”) dan Telenor ASA (“Telenor”) (Bersama, dirujuk sebagai “Kedua-dua Pihak”) sedang dalam rundingan untuk bergabung bagi mewujudkan entiti baharu bertaraf dunia (“Transaksi yang Dicadangkan”) dengan menyatukan operasi peringkat pasaran rantau ASEAN dan Asia Selatan (“Rantau”) milik masing-masing. Usaha ini selari dengan hasrat untuk melahirkan entiti bertaraf jaguh global yang merangkumi aset-aset telekomunikasi, digital dan infrastruktur bawah portfolio yang merupakan peneraju di pasaran masing-masing.
Kedua-dua pihak masih tidak dapat memberikan kepastian sama ada Transaksi yang Dicadangkan tersebut akan berkesudahan dengan pemetraian perjanjian atau obligasi atas kedua-dua pihak untuk meneruskan sebarang pengambilalihan, penggabungan atau pelupusan.
Sungguhpun terdapat beberapa isu dan perkara yang masih belum ditetapkan atau dipersetujui bersama, memandangkan suatu kajian kewajaran usaha (due diligence) bakal dilaksanakan tidak lama lagi yang melibatkan beberapa entiti miliknya yang terletak di sembilan buah negara, Axiata telah memilih untuk membuat pendedahan awal secara sukarela demi ketelusan kepada para pemegang sahamnya sementara perbincangan berlangsung.
Di peringkat global, industri telekomunikasi telah menyaksikan perubahan ketara dari segi struktur industri yang mana perbezaan antara perkhidmatan tetap dan tanpa wayar semakin menjurus ke arah penyatuan. Pada masa yang sama, persaingan pasaran terus meningkat menjangkaui syarikat telekomunikasi tradisional tetapi merangkumi juga syarikat perkhidmatan berasaskan internet dan penyedia kandungan. Kemajuan teknologi dan penggunaan perkhidmatan digital telah berkembang dengan pesat, mencetuskan peluang serta cabaran dalam segmen pasaran Pengguna, Kediaman, Perusahaan dan Internet of Things (“IoT”).
Pada masa yang sama, harga produk dan perkhidmatan semakin menurun dalam beberapa tahun yang lepas manakala perbelanjaan modal terutamanya berkaitan rangkaian, kualiti liputan dan teknologi terus meningkat dalam usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat bagi data. Dalam persekitaran kompetitif ini, kemampuan untuk berinovasi, menyampaikan perkhidmatan yang berpatutan dan berdaya saing, serta meningkatkan keuntungan, keupayaan untuk berkembang dengan pantas, menyampaikan kecekapan serta mengamalkan amalan terbaik global menjadi semakin penting.
Transaksi yang Dicadangkan bertujuan untuk membolehkan entiti baharu yang digabungkan ("MergedCo") untuk menggabungkan keunikan operasi Asia milik Telenor dan Axiata dari segi skala, kemahiran serta pengalaman luas yang dimiliki dalam menerajui serta mengurus pasaran baru muncul dan baru diteroka. Kedua-dua pihak tersebut juga telah menyatakan hasrat masing-masing untuk menyenaraikan MergedCo di Bursa Malaysia dan satu lagi pasaran saham utama antarabangsa dalam beberapa tahun akan datang. Sebagai jaguh global, MergedCo bakal memiliki sebuah jaguh tempatan, syarikat menara telekomunikasi global dan pusat inovasi terbesar di rantau ini, yang semuanya akan beribu pejabat di Malaysia.
Sungguhpun peratusan pegangan saham akan mencerminkan penilaian aset relatif, yang akan menyaksikan Telenor muncul sebagi pemegang saham majoriti MergedCo dengan anggaran pegangan kira-kira 56.5% dan Axiata pula menguasai kira-kira 43.5%, kedua-dua pihak memperakui bahawa kedudukan pegangan awal ini adalah tertakluk kepada penyesuaian dan kajian usaha wajar yang bakal dilaksanakan. Transaksi yang Dicadangkan ini akan berdasarkan prinsip penggabungan yang setara antara Axiata dan Telenor. Hasratnya adalah untuk mewujudkan sebuah syarikat komersial yang diseliakan oleh Lembaga Pengarah, menggabungkan bakat, kebolehan dan budaya terbaik Axiata dan Telenor dalam kumpulan MergedCo.
Telenor dan Axiata akan berusaha ke arah penyediaan perjanjian yang mengikat berkaitan dengan transaksi yang dicadangkan pada akhir suku ketiga 2019 setelah kajian usaha wajar dimuktamadkan. Sekiranya kedua-dua pihak-pihak bersetuju untuk menandatangani perjanjian tersebut, transaksi yang bakal dilaksanakan akan tertakluk kepada kelulusan oleh pemegang saham dan badan pengawal selia, antara lainnya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Axiata
Penggabungan yang Dicadangkan ini yang akan mengangkat syarikat yang berpangkalan di Malaysia ini ke peringkat global dan merupakan suatu pencapaian penting dalam pertumbuhan negara. Ini akan membuka peluang global yang luar biasa dalam bidang teknologi, bakat dan inovasi untuk Malaysia dan juga untuk semua negara di mana kami beroperasi.
Saya amat berbangga dengan pencapaian kami sebagai jaguh serantau setakat ini dan menantikan fasa seterusnya dalam perjalanan kami sebagai jaguh global.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata
Kami kini bakal melakar sejarah baharu! Penggabungan mega setara yang Dicadangkan akan melahirkan jaguh global yang beribu pejabat di Malaysia.
Dengan kombinasi dinamik dari segi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan mendalam yang dimiliki oleh dua juara serantau Asia – Axiata dan Telenor Asia – kami menyatukan budaya terbaik daripada Asia dan Eropah. Dengan memanfaatkan sinergi gabungan aset, organisasi, bakat, amalan terbaik, skala dan kekuatan kewangan, kami akan mewujudkan pengendali telekom terbesar di rantau ini. Di samping itu, kami juga akan mewujudkan pengendali telekomunikasi mudah alih terbesar di Malaysia, antara TowerCo terbesar di dunia dan Pusat Inovasi terbesar di rantau ini.
Dengan entiti yang digabungkan nanti, kami akan terus maju ke hadapan kepada Axiata 4.0 dan turut serta dalam momentum global IR4.0 dan berkembang melangkaui penyediaan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih semata-mata dan terlibat dalam Jalur Lebar, Digital, 5G, IOT, AI dan Penyelesaian lain.
Syarikat baharu yang bergabung akan secara aktif menyokong aspirasi kerajaan kita untuk menarik organisasi bertaraf dunia serta memimpin dalam memajukan inovasi dan pembangunan yang fokus kepada bakat tempatan dan global. Daripada sembilan pasaran yang mana ia kini beroperasi, penggabungan baharu ini akan membolehkan kami menjadi peneraju utama di enam buah negara.
Laluan hadapan berliku menanti kita sebelum usaha niaga ini dimuktamadkan tetapi saya amat teruja kerana penggabungan ini bakal melakar sejarah bagi industry telekomunikasi di Asia dan korporat Malaysia.
Sebagai salah sebuah kumpulan telekomunikasi utama di Asia dalam usaha mencapai visi untuk menjadi jaguh digital generasi baharu menjelang 2022, Axiata telah mentransformasi daripada syarikat induk dengan portfolio aset mudah alih kepada perniagaan yang didorong oleh Tiga Strategi Teras iaitu Telekomunikasi Digital, Perniagaan Digital dan Infrastruktur.
Dalam ASEAN dan Asia Selatan, Kumpulan Axiata menguasai kepentingan dalam pengendali telekomunikasi mudah alih dan tetap tersohor di rantau ini termasuk 'Celcom' di Malaysia, 'XL' di Indonesia, 'Dialog' di Sri Lanka, 'Robi' di Bangladesh, 'Smart 'di Kemboja dan ‘Ncell’ di Nepal. Axiata secara aktif menerajui usaha untuk mengubah operasi syarikat-syarikat yang dikuasainya daripada telekomunikasi mudah alih kepada telekomunikasi digital.
Perniagaan digital Axiata tertumpu pada tiga bidang utama iaitu Perkhidmatan Kewangan Digital ('Boost'), Pengiklanan Digital ('ada') dan Platform Digital ('APIgate') di pasaran global.
'edotco', syarikat infrastruktur Kumpulan Axiata, beroperasi di enam buah negara dan menyediakan perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi serta memiliki kira-kira 27,500 buah menara. Syarikat menara telekomunikasi bebas ke-13 terbesar di dunia kini, 'edotco' menyasarkan untuk menjadi salah sebuah syarikat menara telekomunikasi yang terulung di rantau ini dan komited terhadap operasi perniagaan yang bertanggungjawab dan mapan.
Sebagai pelabur jangka panjang yang komited, dan sejajar dengan matlamat kemampanannya, Kumpulan Axiata secara aktif menyokong dan memacu pembangunan bakat muda; tindak balas dan pemulihan bencana; serta inisiatif hijau. Matlamat Axiata yang lebih luas untuk memajukan Asia bertujuan untuk membawa amalan terbaik di sekitar rantau ini dari segi inovasi, perhubungan dan bakat.
For further information on Axiata visit www.axiata.com
Issued By
Corporate Communcations
Axiata Group Berhad
Level 30, Axiata Tower,
9 Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral 50470 Kuala Lumpur Malaysia
For further information on Axiata visit www.axiata.com